Blog Contest : Jika Aku Pemimpin Malaysia

Salam dan hello kepada semua. Entri kali ini agak istimewa kerana akan 100% ditulis dalam bahasa ibunda Malaysia. Kenapa sedemikian? Kerana pada kali ini aku ingin menyahut cabaran dari saudara xmindfreakx. Beliau telah menganjurkan satu pertandingan dengan tujuan memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan ke-51 pada tahun ini yang pada pandangan aku, terlalu hambar. Mungkin anda dapat mengagak faktor-faktor yang boleh dijadikan penyebab ke arah kehambaran sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Berbalik kepada tajuk utama entri ini ditulis, apa yang perlu dilakukan adalah mudah dan mungkin anda juga boleh menyertainya juga. Pertandingannya adalah mudah, tulis satu entri bertajuk “Jika Aku Pemimpin Malaysia” dan pautan balikkan kepada blog penganjur. Mudah bukan? Jadi apa tunggu lagi, tarikh tutup ialah pada 20 Ogos 2008. Hehehe..
______________________________
Jadi apa yang akan aku lakukan kepada Malaysia ini jika aku adalah seorang pemimpin Malaysia? Walaupun ianya satu angan-angan yang tinggi dan mungkin tidak pernah kita fikirkan, tapi tidak salah untuk kita berfikir sejenak, apa akan kita lakukan jika kita ditempat mereka sebagai pemimpin Malaysia. Selama ini kita hanya merungut dan berkata itu ini kepada pemimpin, tapi jika kita ditempat mereka, apa akan kita lakukan. Mari berfikir sejenak.
- Jika aku adalah pemimpin Malaysia perkara pertama yang akan aku lakukan ialah merombak kembali sistem pendidikan negara. Bukannya aku tidak setuju dengan sistem yang ada sekarang, tapi apa yang dapat dilihat ialah sistem pendidikan sekarang adalah 100% berorientasikan peperiksaan. Kesannya, para pelajar akan melihat peperiksaan itu sesuatu yang amat penting. Ya betul peperiksaan itu penting, tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana para pelajar dapat mengimplementasikan kembali pelajaran teori yang telah mereka belajar dalam kehidupan seharian secara praktikal. Rata-rata hanya memahami secara teori tapi lemah dalam mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Dunia pekerjaan mengkehendaki kita untuk menjadi seorang yang praktikal dan proaktif, bukan hanya memahami secara teori tapi tidak mampu menyelesaikan sesuatu permasalahan. Jadi apa yang aku lakukan ialah, menjadikan sistem pendidikan berasaskan kepada 2 asas utama iaitu teori dan praktikal. Contohnya 60% praktikal dan 40% teori iaitu peperiksaan. Ini pada pandangan aku dapat memberikan lebih pemahaman kepada para pelajar mengenai apa yang mereka pelajari. Bukan hanya menghafal bulat-bulat apa yang dicurahkan kepada mereka, tapi mempraktikkan dan memahami konsep yang diajar. Ini lebih mudah selain dapat mengurangkan kesan tekanan belajar dan secara tidak langsung dapat melahirkan generasi yang lebih praktikal dan proaktif yang bukannya hebat dalam pelajaran teori semata-mata. Setuju?
- Langkah seterusnya yang akan aku ambil ialah, memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia. Walaupun langkah ini nampak mengarut tapi inilah yang cuba akan aku lakukan. Sesetengah pihak mungkin mempertikaikan, mana mungkin pendidikan percuma diberikan. Soalan aku, kenapa tidak? Jika ada kemahuan disitu ada jalan. Aku tidak bercakap kosong, perkara ini tidak mustahil dilakukan jika kita mengambil kira sumber ekonomi dan aset-aset negara yang kita ada sekarang. Mengikut satu kajian oleh seorang pengkaji ekonomi barat (maaf aku lupa siapa beliau) mengatakan, dengan sumber ekonomi dan aset-aset negara yang Malaysia miliki sekarang, Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyatnya sehingga mereka memegang ijazah pertama! Dan ianya mampu dicapai dengan pengurusan ekonomi yang baik tanpa korupsi. Tapi apa yang lebih penting, ianya tidak mustahil dilakukan. Dengan sedikit perubahan dalam sistem ekonomi kita, pendidikan percuma mampu diberikan.
- Langkah seterusnya ialah, memandangkan langkah sebelum ini ialah memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, maka langkah seterusnya ialah membatalkan semua bayaran balik PTPTN yang harus ditanggung pelajar sekarang. Walaupun kadar faedah telah dikurangkan kepada 1% namun ianya masih membebankan dan tidak adil. Kenapa aku berkata begitu? Setiap semester, aku pasti mendengar sebahagian dalam rakan-rakanku mengatakan duit pinjaman mereka dipotong, tidak cukup dan sebagainya. Ada yang pinjaman PTPTNnya ditolak hampir RM400. Aku juga pernah mengalaminya. Jawapan yang aku dapat daripada pihak PTPTN ialah, pinjaman ditolak sebagai bayaran insuran. Walaupun pernah dinyatakan sebelum permohonan dibuat bahawa untuk bayaran pertama kepada pelajar, sejumlah wang akan ditolak sebagai bayaran insuran namun apa yang aku dapat lihat, hampir setiap semester duit pelajar ditolak! Insuran apa yang mereka bayarkan untuk kita? Masih tidak jelas. Walau apa-apa pun, jika aku seorang pemimpin Malaysia, aku akan batalkan semua bayaran balik. Habis sahaja belajar, tak perlu fikir bayaran balik apa semua.
- Memperkuatkan institusi keagamaan adalah langkah lain yang akan aku ambil jika aku pemimpin Malaysia. Memandang kepada tahap masalah sosial dan akhlak remaja-remaja harapan negara pada hari ini, aku rasa langkah terbaik untuk mengubati permasalahan yang kian mewabak ini ialah melalui ajaran agama yang betul dan pegangan agama yang teguh. Agama dapat membentuk tamadun dan dengan agama sesebuah negara itu akan terus maju dan makmur. Jadi terasnya ialah, kuatkan institusi keagamaan agar para harapan negara ini menjadi satu generasi yang membanggakan dan mempunyai pengangan dan pendirian yang kuat. Secara tidak langsung gejala sosial yang teruk kini dapat diubati. Ini jika aku pemimpin Malaysia.
- Seterusnya ialah memberikan kebebasan kepada media dalam menyebarkan berita-berita yang tidak berat sebelah dan adil kepada semua. Semua pasti sudah jelas dengan had media di Malaysia, stesen-stesen tv yang lebih kepada pro-kerajaan dan akhbar-akhbar yang berat sebelah. Ini akan aku ubah kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar bukan menyelindungkan perkara sebenar dari mata rakyat. Ya sudah pasti aku akan memastikan kebebasan bersuara diberikan kepada semua pihak tapi dengan etika-etika yang perlu dipatuhi. Ini penting kerana kebebasan tanpa batasan akan membawa petaka jua akhirnya.
- Antara langkah lain yang akan aku ambil ialah membubarkan ISA (Internal Security Act) yang pada pandangan peribadiku adalah satu akta yang tidak adil sama sekali. Menahan dan memenjarakan seseorang individu tanpa usul periksa pada hemat aku adalah suatu yang amat tidak adil dan kejam. Seharusnya mereka ini dihakimi dahulu sebelum dijatuhi hukuman tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Jadi jika aku pemimpin Malaysia, ISA akanku bubarkan.
Jadi inilah yang cuba akan aku lakukan jika aku pemimpin Malaysia. Walaupun perkara-perkara diatas nampak agak berat untuk direalisasikan namun ianya tidak mustahil untuk dilaksanakan. Seperti yang aku katakan sebelum ini, dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Apa-apa pun yang paling penting ialah kita harus mencuba bukannya terus membuat kesimpulan awal. Bagaimana? Setuju?
Probably related posts:
- Salam Ramadhan, Salam Kemerdekaan & Rumah Baru
- Salam Lebaran 1429H | 2008M
- Salam Lebaran 2007 | 1428 H
- Take Charge!
- Marhaban Ya Ramadhan Almubarak





3 Trackback(s)